BlogHafisz

| Blog infomasi Pilihan |

Hartanah jana keuntungan

Artikel ini saya hanya Tiru dan Salin semula, harap membantu kita semua dalam bidang hartanah.



Artikel ditulis Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri

Kuala Lumpur: Pelaburan dalam hartanah salah satu bentuk penanaman modal yang membolehkan orang ramai membina kekayaan terutama jika rumah dibeli untuk disewa atau dijual semula.

Berikutan prosedur pemilikan hartanah yang rumit serta ia aset bukan mudah cair menyebabkan ramai meminggirkan bentuk pelaburan ini.
Pakar Hartanah dan Ketua Pegawai Eksekutif Velocity Muse Sdn Bhd Saufi Karim berkata, hartanah terdiri daripada jenis rumah, pejabat dan tanah yang pelaburan itu boleh menjana keuntungan atau mengheret kerugian sepanjang hayat.

Katanya, setiap daripada kita perlu mempunyai ilmu dalam pemilihan hartanah yang boleh memberikan keuntungan bukan hanya semata-mata membuat pelaburan dengan membuta tuli.


“Sejauh manakah hartanah boleh dijadikan pelaburan? Soalan ini sering kali ditanya di seminar hartanah yang kami anjurkan dan saya menekankan supaya peserta mencari unit hartanah yang positif serta mempunyai permintaan tinggi.


“Selagi kita membeli hartanah yang mudah disewakan dan mendapat keuntungan setiap bulan tanpa menggunakan wang kita, selagi itulah unit hartanah itu menjadi pelaburan menguntungkan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, mereka yang ingin melabur dalam hartanah juga perlu tahu faktor permintaan dan pengeluaran kerana permintaan yang tinggi bakal melonjakkan harga sewa dan harga jualan unit hartanah di lokasi terbabit.

Beliau berkata, terdapat tujuh sebab kenapa perlu melabur dalam hartanah antaranya pelaburan jangka masa panjang kerana ia bukan pelaburan skim cepat kaya, bijak menyimpan dan mereka menceburi pelaburan hartanah adalah mereka yang bijak dari segi kewangan.

“Pengalaman saya mula-mula menceburi pelaburan hartanah menyebabkan saya lebih faham kewangan diri saya berbanding sebelum menceburinya. Sebab lain pula, sejarah kredit yang bersih, jika anda mempunyai sejarah kredit yang bersih maka anda orang pertama layak untuk suka melabur hartanah.

“Pertingkatkan ekonomi berkala kerana kebanyakan kita akan mula membeli hartanah dengan harga mampu milik dan disarankan bermula dengan hartanah kos mampu milik pada setiap individu dengan profil kewangan tersendiri,” katanya.

Saufi berkata, bagi mendapat untung dalam pelaburan hartanah ini, seseorang perlu memilih lokasi strategik kerana ia memainkan peranan penting dan terdapat tiga lokasi akan membawa keuntungan setiap kali ingin melabur dalam hartanah seperti rumah, pejabat atau tanah.


1) Dekat dengan susur keluar lebuh raya

Mudah untuk pergi dan balik kerja dan mempunyai permintaan tinggi disebabkan kemudahan akses lebuh raya.


2) Kemudahan pusat beli-belah dan perkhidmatan awam

Apabila banyak kemudahan awam seperti pusat pengangkutan LRT/MRT, pelaburan hartanah di lokasi ini berbaloi dengan harga sewa yang tinggi dan senang menjual unit hartanah terbabit.


3) Hartanah dalam jarak 30 kilometer dengan pusat bandar

Hartanah yang hampir dengan pusat bandar mendapat perhatian dan permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/08
Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hartanahjanauntung//Article/index_html





1 Komentar untuk "Hartanah jana keuntungan"

 
Copyright © 2014 BlogHafisz - All Rights Reserved
Template By Catatan Info